Showing posts with label haluan. Show all posts
Showing posts with label haluan. Show all posts
3
[postlink]http://www.youtube.com/watch?v=IQ7jFYFM-H0endofvid
[starttext]
KUALA LUMPUR, 30 Mac - Jarang kita melihat sebuah konsert nasyid dapat mengawal mood penonton dengan begitu baik sekali sehingga hampir seluruh persembahan dihayati dan khalayak turut mengambil bahagian. Tetapi itulah yang berlaku dalam konsert 'Lifeline 4Gaza' di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, di sini baru-baru ini.

Kumpulan nasyid Indonesia yang cukup popular dengan lagu-lagu perjuangan, Shoutul Harokah bersama Muadz dan kumpulan Daie berjaya memukau penonton dengan persembahan bertenaga mereka. Bermula selepas solat Isyak, konsert dimulakan dengan tilawah al-Quran oleh Baihaqi Shabaruddin yang membaca ayat-ayat dari surah al-Anfal. Pengacara majlis yang turut bersemangat seterusnya menjemput Ustaz Abdul Halim Zakaria yang mewakili Imam Besar untuk menyampaikan ucapan. Beliau menyatakan rasa terharu apabila melihat sebahagian besar yang menghadiri program tersebut adalah anak-anak muda dan berasa gembira kerana masjid diimarahkan.

Konsert 'Lifeline 4Gaza' atau 'Talian Hayat untuk Gaza' ini dianjurkan oleh gabungan lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai oleh Haluan Palestin. NGO lain yang terlibat adalah Majlis Permuafakatan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Aqsa Syarif, Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Kelab Siswa Haluan Malaysia dan Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA). Ia adalah salah satu program yang dijalankan dalam usaha mengumpul dana bagi menjayakan misi membawa masuk bantuan ke Gaza dan seterusnya memecahkan sekatan yang dikenakan oleh Zionis Israel dan sekutunya ke atas Palestin, khususnya Gaza.

Sepanjang konsert, persembahan nasyid diselang seli dengan bacaan sajak, pertunjukan slaid dan kata-kata yang menaikkan semangat perjuangan. Laungan takbir, kata-kata 'Hidup Islam!' dan 'Hancur Zionis!' mewarnai malam yang gilang-gemilang itu. Tidak lupa pujian diberikan kepada dua percussionist yang hebat.

Bait-bait puisi 'Palestina Untukmu' dideklamasikan oleh Abd Rashid Abd Rahman, diikuti Muzakir Che Ali yang melontarkan suara hatinya, 'Rayuan Insani'.

Penonton yang 90% terdiri daripada belia dan remaja mula teruja apabila enam anak muda dari kumpulan nasyid tempatan, Daie tampil ke pentas. Daie menyampaikan dua buah lagu, 'Islam yang Telah Berkembang' dan 'Ar-Ruhul Jadid' sebelum menjemput Muadz menyertai mereka. Muadz dan Daie kemudian berduet mendendangkan lagu 'Wahai Kawan'.

Menguasai pentas secara solo, Muadz yang terkenal dengan lagu-lagu hadis dan perjuangan, seperti biasa menyelitkan kata-kata nasihat, mengajak penonton agar tidak lupa dengan nasib umat Palestin. Beliau berjaya menghidupkan dewan apabila mengajak remaja dan anak-anak yang memegang bendera beraksi bersamanya di atas dan di hadapan pentas. Lagu-lagu daripada album sulungnya, 'Amrullah' dan 'Stand Up' bergegar dan mendapat sambutan hangat.

Sebelum meminta diri, Muadz membuat sedikit kejutan dengan satu acara santai apabila menjemput dua orang 'otai' nasyid yang terkenal dengan lagu-lagu perjuangan sekitar 80-an iaitu Abu Along dan Abu Nasim. Dengan bantuan dua bekas ahli kumpulannya, Abdul Aziz Nordin dan Muhammad Ameen Kamaruzaman daripada Al-Masar, mereka mendendangkan sebuah lagu nostalgia, 'Al-Aqsa' yang telah ditulis dan dinyanyikan oleh kedua-dua 'otai' tersebut pada tahun 1988.


Konsert 'Lifeline 4Gaza' sampai ke kemuncaknya apabila nama Shoutul Harokah dipanggil sambil disahut sorakan daripada para penonton. Sambil menyatakan rasa bangganya diundang ke Malaysia, lima pemuda dari Bandung, Indonesia ini mula membakar semangat jihad dengan lagu-lagu hit mereka, 'Bingkai Kehidupan', 'Inilah Langkahku', 'Al-Ardulana wal-Qudsulana' dan 'Untukmu Palestina'. Lagu 'Merah Saga' yang menjadi lagu terakhir pula ditujukan khas kepada pejuang Islam Palestin yang telah syahid seperti Syeikh Ahmad Yasin dan Abd al-Aziz Rantissi.

Menarik apabila melihat kesemua lagu yang disampaikan oleh kumpulan ini dinyanyikan bersama oleh sebahagian besar penonton, menunjukkan Shoutul Harokah dan lagu-lagu jihadnya memang dekat di hati generasi muda Malaysia yang tidak rela melihat bumi suci al-Quds dinodai.

Persembahan ditutup dengan sebuah lagu yang menggabungkan Shoutul Harokah, Muadz dan Daie sebelum bacaan doa yang diketuai oleh Ustaz Abdul Rahim Abdul Wahab.

Menurut pengarah program, Khalid al-Walid Mustafa Kamil, idea mengadakan konsert ini timbul apabila mereka menghubungi Shoutul Harokah dan mendapat respons yang baik daripada kumpulan tersebut. Bagaimanapun, usaha tersebut bermula hanya tiga minggu lepas, satu tempoh yang singkat untuk sebuah konsert.

"Alhamdulillah, dengan bantuan daripada pelbagai NGO lain, promosi dilakukan dengan intensif dalam internet menerusi 'e-mail blast' dan laman web. Hasilnya, sebanyak 2000 tiket berharga RM10 dan RM30 habis dijual," kata Khalid.

Kesemua hasil jualan tiket dan juga kutipan sumbangan pada malam tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung 'Lifeline 4Gaza' dan jumlah akhirnya nanti akan dibawa ke Gaza mengikut jalan laut menerusi usaha konvoi antarabangsa yang akan diterajui oleh IHH, iaitu sebuah pertubuhan kebebasan dan kemanusiaan yang berpangkalan di Turki.

"Konsert ini adalah yang pertama melibatkan Shoutul Harokah. Tujuan utama konsert ini adalah untuk mengumpulkan dana Palestin. Shoutul Harokah yang datang ke sini pula ditaja sepenuhnya oleh Haluan Malaysia. Insya-Allah, kumpulan nasyid ini telah pun menyatakan persetujuan untuk terus berkolaborasi dengan kami pada masa-masa akan datang, dan mungkin artis-artis lain dari Indonesia juga akan dijemput," tambahnya.

Ditanya mengapa penonton konsert ini majoritinya remaja dan belia, Khalid berkata, "Sasaran utama konsert ini memang pemuda, remaja dan adik-adik kecil. Kami hendak meniupkan semangat perjuangan dalam diri mereka. Berhibur tidak salah, tetapi mestilah untuk memartabatkan agama Allah dan mengangkat kalimah-Nya. Sebab itu bagi saya tidak kisah kalau mereka hendak melompat atau berlari seperti yang kita saksikan pada malam ini, asalkan hiburan ini dapat menguatkan hubungan dengan Allah dan menghidupkan roh perjuangan. Program seperti ini memberi impak yang besar kepada anak muda dan memperkukuh jati diri mereka."


Memang benar, sewaktu persembahan, teruja melihat anak-anak lelaki menyanyi dengan penuh semangat, melompat, berlari serta mengibarkan bendera Palestin dan Malaysia, manakala yang perempuan turut menyanyi sambil menggenggam tangan dan menumbuk ke udara. Namun semua aksi tersebut sangat terkawal, dengan pengasingan antara penonton lelaki dan perempuan dibuat sejak awal lagi. Keadaan ini amat jauh berbeza dengan konsert artis-artis yang dilakukan di Stadium Negara, PWTC atau di tempat-tempat lain.

"Kami akan terus mengadakan konsert seperti ini lagi dengan tempoh promosi yang lebih panjang, mungkin enam bulan. Insya-Allah, kalau promosinya mencukupi, kami yakin bukan setakat Stadium Melawati, Stadium Bukit Jalil pun boleh penuh," ujar Khalid lagi.

---------

HALUAN mengucapkan jutaan terima kasih atas laporan yang telah ditulis oleh Malaysia Harmoni.
[endtext]

KONSERT LIFELINE 4GAZA

0
[postlink]http://www.youtube.com/watch?v=infLiWID6CEendofvid
[starttext]
Tugas kita sebagai da’i hanyalah menyeru. Hasilnya kita serahkan kepada ALLAH. Tapi bukan bererti kita boleh ala kadar dalam melaksanakan projek dakwah. Kita tetap harus profesional dalam dakwah. Kita harus senantiasa itqan dalam pekerjaan ini. Untuk itulah, perlu dipersiapkan pula perajurit dakwah yang akan mengisi “jabatan” sesuai bidangnya. Salah satunya dengan melalui tarbiyah.

universiti tarbiyahTarbiyah adalah kerja besar. Projek raksasa. Sistem yang integral. Dahsyat. Mengubah yang sederhana menjadi luar biasa. Pekerjaan-pekerjaan besar dalam sejarah hanya dapat diselesaikan oleh orang-orang yang memiliki naluri kepahlawanan.

Tarbiyah adalah sebuah pilihan. Mengambil pilihan ini tentu mengandung risiko di luar zon selesa kita.

Tarbiyah adalah perubahan. Berani tarbiyah ertinya harus siap berubah, mengubah diri sendiri mahupun mengubah orang lain. Kerana perubahan adalah keperluan, maka yang terpenting adalah bagaimana menyiapkan perubahan itu menjadi lebih menyenangkan.

Di sinilah pentingnya peranan seorang murabbi. Memang, dalam tarbiyah harus ada murabbi dan mutarabbi. Keduanya penting. Akan tetapi, hubungan seorang murabbi dan mutarabbinya bukan hanya sebatas hubungan guru dan murid, namun lebih dari itu.

Khususnya murabbi, ia adalah walid (orang tua). Murabbi adalah syeikh. Murabbi adalah guru. Murabbi juga adalah qa’id (panglima yang berwibawa).

Sebagai walid, ayah atau ibu, murabbi berperanan dalam ikatan emosional. Ia berperanan menguatkan mutarabbinya bila mereka sedang dalam keadaan futur (lemah). Menanyakan khabarnya, meraikannya, menenangkannya, menjadi pembimbingnya.

Sebagai syeikh, murabbi adalah pengarah jiwa yang selalu memberi oasi ilmu dan memberikan sentuhan jiwa dalam spiritual dan ruhiyah. Sentiasa baru. Selalu ke hadapan dan bersemangat dan selalu bermanfaat untuk ummat.

Sebagai guru (ustaz), murabbi mesti tidak berhenti belajar dan menimba ilmu. Ini kerana ia bertugas mengajarkan Al-Qur’an dan Kitab, memberikan ilmu, memberikan wawasan baru sehingga murid-murid merasa tenteram bersamanya.

“Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS Al Mujadilah: 11)


Murabbi adalah qa’id, panglima yang berwibawa, pemimpin yang berkarisma, inovatif dalam amalnya, kreatif mencari alur bagi para pengikutnya, pelopor dalam kebaikan, teladan dalam kebajikan, motivator di tengah kelesuan, motor dalam perubahan.

Tentunya sebagai qa’id, murabbi tidak hanya duduk-duduk saja. Tapi ia selalu terdepan dalam berprestasi dan inovasi tak pernah henti, agar bagaimanapun murabbi tetap lebih unggul.

“Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri, dan di antara mereka ada yang pertengahan, dan di antara mereka ada (pula) yang lebih dulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah karunia yang amat besar.” (QS Fathir: 32)


Itulah beberapa peranan seorang murabbi dalam tarbiyah. Rasulullah adalah imamnya yang utama. Al Qur’an dan Sunnah adalah panduan utama. Allah tujuannya. Syahid cita-citanya.

Adapun perajurit dakwah adalah pahlawan. Kerana ia rela mengambil peranan di tengah kesulitan, menapaki risiko di saat orang menghindar, meraih momentum saat manusia masih terlena hina, dan menyusun kerja besar saat orang lain belum tersedar.

Untuk membentuk perajurit seperti itu, diperlukan energi yang besar dan kerja yang keras. Ada beberapa karakter khas perajurit istimewa ini dalam dakwah, sebagaimana berikut:

1. Bersedia membina diri (tarbiyah dzatiyah)

Dalam dakwah, perajurit sejati adalah mereka yang bersedia membina diri dan menyerahkan segala komitmennya buat perjuangan dakwah. Komitmennya tulus, tujuannya lurus, amal-amalnya bukan untuk mencari fulus, kerjanya serius, fikirannya diasah terus, dan langkah-langkahnya maju terus.

Allah SWT berfirman:

“Dan berapa banyaknya Nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut(nya) yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar.” (QS Ali Imran: 146)


2. Bertransaksi di jalan Illahi dengan penuh kesedaran dan kefahaman

Yang dimaksudkan adalah kesadaran untuk menukar harta, jiwa, nyawa dan dirinya dengan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Tanpa paksaan. Tanpa tekanan.

Allah Ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. Itu telah menjadi janji yang benar dari Allah dalam Taurat, Injil, dan Al Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (QS At Taubah: 111)


3. Sabar, tidak menyerah hati kepada yang lain selain Islam

Kerana komitmennya inilah, perajurit dakwah tidak mahu berjual hatinya kepada yang lain. Ini kerana ia yakin bahawa Allah tidak mungkin ingkar janji. Kerana itulah, tetaplah anda wahai penerus risalah Rasulullah saw di jalan dakwah ilallah.

“Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan Rasul-Rasul-Mu. Dan jangan Engkau hinakan kami di hari kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji.” (QS Ali Imran: 194)


Perajurit dakwah yang ikhlas adalah bukti, mana emas mana loyang, mana yang asli dan mana yang palsu, dan sebagainya. Justeru itu, perajurit dakwah yang sejati tidak akan mengkhianati Allah. Tetap setia pada komitmen awal, bahawa Islam adalah agama yang fitrah. Maka ia setia mengikuti Rasululah tanpa banyak membantah.

Innallaha ma’aashshobbiriin.

4. Berani: Siap mengambil Risiko Terberat

Kerana komitmen inilah, para sahabat Nabi menempatkan diri sebagai pembela Nabi, menukar kecintaan diri untuk sepenuh hati pada Nabi. Dalam kafilah inilah ramai perajurit-perajurit pilihan dengan pelbagai keistimewaan. Ada Sa’ad bin Abi Waqqash pemanah jitu pertama atas rekomendasi Rasulullah. Ada Abu Dujanah dengan pedang terhunusnya menjadi benteng Nabi. Ada Khubaib bin Adi yang tidak rela Nabi disakiti walau hanya tertusuk duri sekalipun. Ada pula Ummu Sulaim dengan belati kecilnya yang sentiasa mendampingi Nabi dalam Perang Uhud. Itu semua perlu komitmen keberanian dan berisiko sebagai konsekuensi pilihan.

Jalan dakwah jalan mulia, bukanlah jalan yang bertabur bunga. Jalan suci tetapi sepi, tanpa puji. Jalan para nabi yang banyak dikhianati. Jalan para ulama yang tegar. Jalan orang-orang besar yang penuh risiko. Tapi ingatlah, yang penting bukan label melainkan peranan. Sebab, Menjadi penting itu baik, tapi menjadi baik itu jauh lebih penting.

Jadilah perajurit sejati dalam dakwah. Bangkitkan momentum dan energi tarbiyah dalam diri. Dengan segala komitmen dan kesetiaan yang penuh risiko. Ingatlah, syurga Allah bukan untuk orang-orang yang bermalasan. Jika kita menolong agama Allah, niscaya Allah PASTI akan menolong kita.

sumber: haluan tarbawi
[endtext]

MEMBANGKITKAN MOMENTUM TARBIYYAH

0
[postlink]http://www.youtube.com/watch?v=mpB7TyWH7fkendofvid
[starttext]

HALUAN adalah singkatan kepada Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 1988. Ianya merupakan sebuah NGO yang berteraskan kepada prinsip dan nilai Islam, mencurahkan bakti kepada setiap lapisan masyarakat yang memerlukan tanpa batas kepercayaan agama, bangsa, politik mahupun geografi.

Pada peringkat awal penubuhan, aktiviti HALUAN terbatas kepada usaha-usaha kebajikan untuk manfaat ahli-ahli. Di peringkat ini, aktiviti-aktiviti HALUAN tertumpu kepada program-program seperti seminar dan kaunseling pelajar dan remaja, pendidikan keluarga, kursus-kursus berkaitan ekonomi dan keusahawanan, dan juga kem-kem motivasi dan pengurusan. Walaupun aktiviti-aktiviti tersebut juga melibatkan masyarakat umum bukan dari kalangan ahli, ianya agak terbatas.

Sejak tahun 2002, dengan peningkatan keahlian dan kemampuan mereka terbentuk baik, HALUAN mula melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Perkembangan terancang ini melibatkan aktivis-aktivis HALUAN turun membantu mengubati masalah-masalah sosial, di samping bantuan-bantuan kepada masyarakat miskin, terbiar, anak-anak yatim, mereka yang ditimpa bencana dan seumpamanya. Usaha ini juga dapat memberi ruang kepada mereka yang mampu dan ikhlas dari kalangan masyarakat untuk menjadi relawan bersama HALUAN dengan usaha yang kemas dan tersusun.

ASPIRASI HALUAN – Berakhlak, Mendidik dan Berbakti
Sebagai perkumpulan graduan yang prihatin, HALUAN memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti bantuan pendidikan, bimbingan dan kemasyarakatan untuk memenuhi tanggungjawab asas kemanusiaan, di samping menunaikan kewajipan kepada Pencipta dalam membina masyarakat yang memahami dan menunaikan tanggungjawab, hidup dalam harmoni, berwawasan dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Oleh itu, ahli-ahli dan aktivis-aktivis HALUAN bersandar kepada motto mereka, iaitu ”berakhlak, mendidik dan berbakti”. Adalah menjadi aspirasi HALUAN untuk bersama masyarakat dalam apa juga bentuk aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan ruang-lingkup motto tersebut. Ahli-ahli HALUAN kini bertanggungjawab untuk bergerak ke hadapan, bersedia dan bangga untuk membantu, supaya sentiasa dirasai kehadiran mereka dalam masyarakat, tanpa unsur-unsur kemegahan atau kepentingan diri atau pihak-pihak tertentu.

Secara umumnya, objektif kepada aktiviti-aktiviti HALUAN adalah seperti berikut:

  • Membantu kerajaan dalam menangani masalah sosio-ekonomi terutama dalam aspek pembinaan keluarga bahagia, penyelesaian konflik keluarga dan remaja, saran keluarga tunggal, miskin dan anak yatim.
  • Mengekalkan semangat dan sifat prihatin dalam masyarakat Malaysia untuk menyumbang kepada keharmonian dan kerukunan masyarakat.
  • Menjadi bahan perantara penderma dan penerima derma.

[endtext]

MISI HALUAN